Friday, October 16, 2009

UMNO /BN menuju PERUBAHAN
"Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung," ....."Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan. "Kendati tergantung awan di langit, Telah terlanjur kubentangkan layar. Walau badai datang menggulung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan. Hidup UMNO! Hidup Melayu!"

Saturday, January 17, 2009

KAMPUNG BARU DI ANGGAP MENCURI HAK MELAYU

Oleh HATA WAHARI [ UTUSAN 16 Januari 2009]

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.
Baginda yang dalam keadaan sebak semasa menyentuh perkara itu ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini hari ini bertitah, teguran tersebut dizahirkan dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950.
Titah baginda, penempatan semula melalui Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney itu telah menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu.
Raja Nazrin bertitah, Rancangan Briggs memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke kampung baru yang dilengkapkan dengan jalan, bekalan elektrik, air paip, kemudahan sekolah dan kesihatan serta turut dibantu mendapat pelbagai peluang pekerjaan dan kemudahan perniagaan.
Rancangan penempatan tersebut, titah baginda, dilaksanakan ketika masih begitu ramai keluarga Melayu yang tidak memiliki tanah dan dari segi lokasi geografi, kampung baru itu lebih hampir dengan bandar berbanding kawasan pembangunan Felda.
Raja Nazrin bertitah, kemudahan-kemudahan infrastruktur dan sosial yang disediakan di kampung baru juga jauh lebih baik daripada apa yang terdapat di kampung tradisi Melayu.
"Rancangan Briggs sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu. Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.
"Raja-raja Melayu malah pernah menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada tahun 1948 berasaskan kepada kebimbangan Duli-duli Tuanku itu terhadap apa yang dilakukan oleh Gurney ketika bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin terhadap penduduk Arab," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, peneroka tanah rancangan Felda hanya berpeluang melalui penghidupan di perkampungan moden 11 tahun selepas dinikmati oleh penduduk-penduduk kampung baru yang dibangunkan melalui Rancangan Briggs itu.
"Bayangkan betapa nasib lebih 112,000 keluarga desa berkemungkinan berada di dalam kategori miskin tegar sekiranya Felda tidak pernah wujud di negara ini," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, rancangan pembukaan tanah melalui Felda adalah contoh ketara kejayaan gemilang program fardu kifayah yang bukan sahaja berjaya mengatasi masalah kemiskinan bagi ribuan keluarga Islam malah turut membawa mereka menerokai kejayaan yang lebih luas dan besar.
Titah baginda, kejayaan sesuatu idea begitu juga kejayaan sesuatu dasar bergantung pada kejayaan melepasi ujian di peringkat pelaksanaan.
Menurut baginda, Tabung Haji dan Felda bermula daripada satu idea, digubal dasar untuk memberikan roh kepada idea itu lalu ditubuhkan institusi bagi memberikan kerangka dan diterjemahkan kepada projek serta diuji pada peringkat pelaksanaan