Wednesday, November 19, 2008

PENCALONAN UMNO


SUARA Dr. Mahathir Mohamad at November 19, 2008 3:31 PM

1. Selesailah sudah mesyuarat bahagian-bahagian UMNO untuk memilih kepimpinan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian serta pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam Majlis Tertinggi Parti.

2. Sistem kuota masih berkuat-kuasa dan pemerhati mengikuti jumlah pencalonan yang diperolehi oleh calon-calon tertentu dalam media samada mereka memenuhi kuota atau tidak.

3. Tetapi berita utama bukanlah berkenaan dengan layak atau tidak layak calon-calon. Berita utama ialah berkenaan dengan kegunaan wang sogokan oleh calon-calon tertentu. Di zaman keterbukaan yang dijunjung oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dan Presiden UMNO, sogokan wang juga dibuat secara semakin terbuka.

4. Agen-agen calon secara terbuka memberi wang sogokan kepada jawatankuasa bahagian dan wakil ke mesyuarat bahagian. Agen-agen ini tidak segan-segan menyebut nama calon yang membekal wang. Mereka menunggu semasa mengundi untuk mengetahui siapa undi siapa.

5. Satu fenomena yang aneh ialah pencalonan bagi calon tertentu meningkat dengan mendadak pada minggu pertama dan ke-dua. Ternampak seolah-olah mereka ini akan menang tanpa bertanding.

6. Tetapi selepas dua minggu pencalonan bagi calon-calon yang nampak popular ini mula merosot. Masuk minggu ke-empat pencalonan mereka tidak bertambah lagi atau hanya sedikit sahaja.

7. Sebaliknya dari jauh di belakang, calon-calon yang mendapat amat sedikit pencalonan pada minggu-minggu awal tiba-tiba mendapat begitu banyak pencalonan. Demikianlah pencalonan yang mereka dapati sehingga mereka melepasi kuota dan layak bertanding.

8. Apakah yang menyebabkan fenomena ini berlaku? Kata orang (saya tak ada bukti) kata orang sahaja, wang yang amat banyak ditaburkan oleh mereka yang mulanya ketinggalan.

9. Kita juga dengar ada perwakilan yang apabila diminta supaya menyokong calon tertentu telah hantar melalui SMS (system pesanan ringkas) namanya dan nombor akaunnya di bank.

10. Yang lain pula berkata tak apalah. Kami terima sogokan dan kami calon mereka tetapi undi semasa pemilihan dalam Mesyuarat Agong belum tentu.

11. Tengku Ahmad Rithaudeen, pengerusi Lembaga Disiplin telah melaporkan yang lembaga telah terima 900 laporan rasuah dalam pencalonan untuk Majlis Tertinggi dan jawatankuasa bahagian. Ini semasa 2-3 minggu bahagian-bahagian bermesyuarat. Apakah angka ini tidak bertambah?

12. Juga dilaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga mendapat banyak laporan berkenaan sogokan wang semasa pencalonan.

13. Saya tertanya-tanya apa yang telah jadi kepada laporan-laporan ini. Besar kemungkinan bukti tidak cukup dan siapa pun tidak akan didakwa.

14. Sebenarnya rakyat Malaysia semua tahu yang pencalonan dan pemilihan pemimpin UMNO adalah hasil sogokan wang berjuta-juta Ringgit. Anggapan bahawa jika tidak ada bukti yang boleh diterima mahkamah maka ini bermakna tidak ada sogokan, bahawa pemilihan dan pencalonan dalam UMNO adalah bersih seperti kain putih, sukar diterima oleh orang ramai. Mereka bukan bodoh seperti yang dianggap sesetengah Menteri UMNO. Mereka tahu sogokan wang memang berlaku.

15. Sesungguhnya kesan daripada tingkah laku calon-calon untuk jawatan dalam UMNO dan juga ahli-ahli UMNO yang tamak dan begitu bersedia untuk disogok sudah menjadikan UMNO sebuah pertubuhan yang dipandang hina dan dibenci oleh rakyat samada Melayu, Cina atau India. Mereka sedang melihat kelakuan buruk dan kotor orang UMNO tanpa memprotes atau menegur. Kononnya orang bukan UMNO terutama pesara UMNO tidak berhak menegur UMNO. Dan mereka pun tidak menegur. Maka akan selamatlah perasuah.

16. Parti lawan juga turut lihat pendedahan keburukan UMNO dan mereka berdiam diri. Lebih buruk kelakuan orang UMNO lebih baik bagi parti lawan. Kemungkinan mereka menang menjadi lebih cerah apabila UMNO menjadi lebih kotor dan dipandang jijik oleh pengundi.

17. Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia UMNO telah tolak UMNO hanya kerana pucuk pimpinan UMNO yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bemacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati, undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi UMNO dan BN yang menjadi mangsa.

18. Kali ini penolakan UMNO dan Barisan Nasional oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka, Melayu, Cina dan India, memandang jijik keseluruhan UMNO itu sendiri. Dengan mengetahui UMNO terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah decalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon UMNO? Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN.

19. Dahulu ramai berpendapat jika dapat tempat dalam UMNO banyak peluang dan keuntungan akan diperolehi. Ada yang akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan gelaran-gelaran Tan Sri, Dato dan sebagainya. Yang lain akan dapat kontrak, atau jadi pengarah dan mendapat pendapatan lumayan.

20. Kenapa tidak? UMNO tetap menang dan jadi Kerajaan.

21. Tetapi kerana kelakuan buruk ahli dan pemimpin UMNO kali ini besar kemungkinan BN dan UMNO akan kalah. Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini. Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam UMNO tidak akan dapat menjadi Mentri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.

22. Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah.

23. Apakah yang akan jadi pada UMNO yang sudah kalah? Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO? Tentu tidak. Jika tidak hancur, UMNO akan jadi parti yang tidak bermaya, tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanahair. Mungkinkah UMNO yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan UMNO pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka.

24. Jika UMNO hendak dipulih semula pemimpin yang telah kotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO.

25. Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir. Ingatlah apabila Abdullah umumkan yang dia akan bersara pada tahun 2010, pengumuman ini disambut dengan tepuk sorak. Tidak ada sesiapa yang merayu supaya dia tarik balik pengumumannya. Tidak ada yang menangis. Sebaliknya sejurus selepas pengumuman ini desakan dibuat lagi supaya peralihan kuasa
dilakukan lebih awal.

26. Kenapakah UMNO dan rakyat lain hendakkan peralihan kuasa lebih awal? Apakah kerana tidak suka kepada tubuh badan Abdullah atau apakah kerana tidak suka kepada dasar-dasar dan pendekatannya dalam pentadbiran parti dan Negara? Apakah kerana mereka semata-mata mahu pemimpin lain menggantinya?

27. Sesungguhnya sambutan terhadap peralihan kuasa ialah kerana harapan rakyat supaya dasar-dasar, pendekatan dan tingkahlaku Abdullah diganti dengan dasar, pendekatan dan tingkahlaku yang lain, yang berbeza.

28. Jika penggantinya hanya akan teruskan semua dasar dan amalan Abdullah maka sia-sia sahajalah penggantian Abdullah dan peralihan kuasa.

29. Kata Mat Salleh, "You will be back to square one". Dan UMNO akan kalah.

Monday, November 17, 2008

PERINGATAN RAJA-RAJA MELAYU KEPADA YANG BUKAN MELAYU



KUALA TERENGGANU 16 Okt. — Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Dipertikai

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Menghormati

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

— Bernama

Tuesday, November 11, 2008

KEMPEN BERHEMAH VS POLITIK WANG

Aku ucapkan tahniah kepada semua ahli-ahli UMNO yang telah berjaya mendapat pencalonan untuk ke jawatan-jawatan penting parti. Tahniah juga di ucapkan kepada YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak kerana telah menerima sokongan padu dan kuat dari UMNO-UMNO Bahagian kerana bakal menerajui UMNO sebagai Presiden sekaligus sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Tahniah juga aku ucapkan kepada YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kerana dicalonkan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan memperolehi undi pencalonan berhemah dari 91 UMNO Bahagian. Walaubagaimana pun TSMY terpaksa menghadapi pertarungan 3 penjuru dengan YAB Dato Seri Ali Rustam dan juga YB Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Aku ingin mengingati diri aku sendiri dan juga seluruh ahli-ahli UMNO khususnya para perwakilan supaya benar-benar ikhlas untuk menyokong dan mengundi jawatan No. 2 parti. Keseluruhan ahli-ahli UMNO telah memberikan kepercayaan kepada para perwakilan untuk mengundi seterusnya bakal menerima pemimpin No. 2 yang boleh bekerjasama dan berganding dengan DSNTAR selepas Mac 2009 kelak.
Aku sebenarnya amat bimbang apabila para perwakilan-para perwakilan menyatakan mereka terpaksa mencalonkan seseorang dengan alasan mereka mengenang jasa pemimpin-pemimpin yang hendak di calonkan atas dasar menerima bantuan kewangan serta dengan mudah menerima pingat mahupun pangkat dari pemimpin- pemimpin tertentu. Atas dasar tersebut mereka ini terpaksa memberikan pencalonan demi mengenang jasa tersebut. Pada saat-saat akhir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, kita dengan mudah menyaksikan pemimpin-pemimpin yang berhemah tidak mendapat pencalonan disaat-saat akhir walaupun para perwakilan2 tahu siapakah pemimpin yang layak serta berpengalaman untuk menerajui UMNO seterusnya dapat memulihkan kembali maruah UMNO yang sekarang ini tidak relevan di hati rakyat keseluruhannya.
Masyarakat Cina dan India nyata-nyata sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO kerana kerenah para pemimpin yang di lantik di lihat lembab, tidak bermaya dan tidak tegas menangani isu-isu semasa. Ini disebabkan para pemimpin yang ada sekarang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan ahli-ahli UMNO dan juga rakyat jelata yang mengharapkan UMNO sebagai teraju utama dapat menjaga kestabilan ekonomi, perpaduan kaum dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan damai.
PRU12 yang lalu menyaksikan pertarungan hebat yang tidak dapat kita lupai. Satu titik sejarah hitam dan tamparan hebat kepada kita khususnya orang-orang Melayu, UMNO gagal mempertahankan kerusi-kerusi di kebanyakan DUN dan Parlimen. PKR , DAP dan PAS mula mendapat perhatian dari rakyat berbilang kaum. Orang Melayu berpecah sesama sendiri dan tidak bersatu lagi oleh kerana kefahaman dan ideologi politik. Orang Melayu rela mencalonkan parti DAP (membawa fahaman ideologi komunis) mahupun PKR (rata-rata jawatankuasanya terdiri dari bukan Melayu) kerana amat marah kepada para pemimpin UMNO yang sombong, bongkak, mementingkan diri sendiri dan keluarga serta amalan rasuah yang menjadi-jadi.
Apakah kita sebagai ahli UMNO mahu melihat UMNO di bungkus dan di buang oleh rakyat jelata atau pun kita mahukan UMNO terus relevan di hati ahli-ahli UMNO dan rakyat jelata.
Para Perwakilan hendaklah benar-benar menjiwai perjuangan UMNO, balik kepada pangkal jalan dan kajilah sejarah sekiranya kita mahu UMNO sebagai parti dihati orang-orang Melayu. Sekarang ni sudah bermulalah kempen-kempen bagi meraih undi para pencalonan, begitu juga dengan sogokan wang ibarat 'carpet bombing' akan melanda para perwakilan.
Aku menasihati diri ku sendiri dan ahli-ahli UMNO jauhilah rasuah, pemimpinpemimpin yang rasanya belum lagi layak tetapi berangan-angan untuk memimpin tak payahlah gunakan wang ringgit semata untuk memegang jawatan yang dicalonkan, kerana yang rosak nanti parti. Sekiranya pemimpin-pemimpin yang hendakkan jawatan tersebut boleh memberikan rasuah kepada para perwakilan maknanya mereka juga apabila memimpin negara dengan mudah sekali menerima sogokan dan rasuah demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.
Mereka akan kumpul wang banyak2 untuk membeli harta dan aset di luar negara dan melupakan kita apabila mereka tidak lagi bermaya. Yang penting bagi mereka adalah untuk mereka, selagi mereka boleh meberi rasuah maknanya mereka juga mudah menerima rasuah.
Marilah kita fikir-fikirkan bersama demi kebaikan UMNO