Wednesday, November 19, 2008

PENCALONAN UMNO


SUARA Dr. Mahathir Mohamad at November 19, 2008 3:31 PM

1. Selesailah sudah mesyuarat bahagian-bahagian UMNO untuk memilih kepimpinan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian serta pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam Majlis Tertinggi Parti.

2. Sistem kuota masih berkuat-kuasa dan pemerhati mengikuti jumlah pencalonan yang diperolehi oleh calon-calon tertentu dalam media samada mereka memenuhi kuota atau tidak.

3. Tetapi berita utama bukanlah berkenaan dengan layak atau tidak layak calon-calon. Berita utama ialah berkenaan dengan kegunaan wang sogokan oleh calon-calon tertentu. Di zaman keterbukaan yang dijunjung oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dan Presiden UMNO, sogokan wang juga dibuat secara semakin terbuka.

4. Agen-agen calon secara terbuka memberi wang sogokan kepada jawatankuasa bahagian dan wakil ke mesyuarat bahagian. Agen-agen ini tidak segan-segan menyebut nama calon yang membekal wang. Mereka menunggu semasa mengundi untuk mengetahui siapa undi siapa.

5. Satu fenomena yang aneh ialah pencalonan bagi calon tertentu meningkat dengan mendadak pada minggu pertama dan ke-dua. Ternampak seolah-olah mereka ini akan menang tanpa bertanding.

6. Tetapi selepas dua minggu pencalonan bagi calon-calon yang nampak popular ini mula merosot. Masuk minggu ke-empat pencalonan mereka tidak bertambah lagi atau hanya sedikit sahaja.

7. Sebaliknya dari jauh di belakang, calon-calon yang mendapat amat sedikit pencalonan pada minggu-minggu awal tiba-tiba mendapat begitu banyak pencalonan. Demikianlah pencalonan yang mereka dapati sehingga mereka melepasi kuota dan layak bertanding.

8. Apakah yang menyebabkan fenomena ini berlaku? Kata orang (saya tak ada bukti) kata orang sahaja, wang yang amat banyak ditaburkan oleh mereka yang mulanya ketinggalan.

9. Kita juga dengar ada perwakilan yang apabila diminta supaya menyokong calon tertentu telah hantar melalui SMS (system pesanan ringkas) namanya dan nombor akaunnya di bank.

10. Yang lain pula berkata tak apalah. Kami terima sogokan dan kami calon mereka tetapi undi semasa pemilihan dalam Mesyuarat Agong belum tentu.

11. Tengku Ahmad Rithaudeen, pengerusi Lembaga Disiplin telah melaporkan yang lembaga telah terima 900 laporan rasuah dalam pencalonan untuk Majlis Tertinggi dan jawatankuasa bahagian. Ini semasa 2-3 minggu bahagian-bahagian bermesyuarat. Apakah angka ini tidak bertambah?

12. Juga dilaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga mendapat banyak laporan berkenaan sogokan wang semasa pencalonan.

13. Saya tertanya-tanya apa yang telah jadi kepada laporan-laporan ini. Besar kemungkinan bukti tidak cukup dan siapa pun tidak akan didakwa.

14. Sebenarnya rakyat Malaysia semua tahu yang pencalonan dan pemilihan pemimpin UMNO adalah hasil sogokan wang berjuta-juta Ringgit. Anggapan bahawa jika tidak ada bukti yang boleh diterima mahkamah maka ini bermakna tidak ada sogokan, bahawa pemilihan dan pencalonan dalam UMNO adalah bersih seperti kain putih, sukar diterima oleh orang ramai. Mereka bukan bodoh seperti yang dianggap sesetengah Menteri UMNO. Mereka tahu sogokan wang memang berlaku.

15. Sesungguhnya kesan daripada tingkah laku calon-calon untuk jawatan dalam UMNO dan juga ahli-ahli UMNO yang tamak dan begitu bersedia untuk disogok sudah menjadikan UMNO sebuah pertubuhan yang dipandang hina dan dibenci oleh rakyat samada Melayu, Cina atau India. Mereka sedang melihat kelakuan buruk dan kotor orang UMNO tanpa memprotes atau menegur. Kononnya orang bukan UMNO terutama pesara UMNO tidak berhak menegur UMNO. Dan mereka pun tidak menegur. Maka akan selamatlah perasuah.

16. Parti lawan juga turut lihat pendedahan keburukan UMNO dan mereka berdiam diri. Lebih buruk kelakuan orang UMNO lebih baik bagi parti lawan. Kemungkinan mereka menang menjadi lebih cerah apabila UMNO menjadi lebih kotor dan dipandang jijik oleh pengundi.

17. Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia UMNO telah tolak UMNO hanya kerana pucuk pimpinan UMNO yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bemacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati, undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi UMNO dan BN yang menjadi mangsa.

18. Kali ini penolakan UMNO dan Barisan Nasional oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka, Melayu, Cina dan India, memandang jijik keseluruhan UMNO itu sendiri. Dengan mengetahui UMNO terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah decalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon UMNO? Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN.

19. Dahulu ramai berpendapat jika dapat tempat dalam UMNO banyak peluang dan keuntungan akan diperolehi. Ada yang akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan gelaran-gelaran Tan Sri, Dato dan sebagainya. Yang lain akan dapat kontrak, atau jadi pengarah dan mendapat pendapatan lumayan.

20. Kenapa tidak? UMNO tetap menang dan jadi Kerajaan.

21. Tetapi kerana kelakuan buruk ahli dan pemimpin UMNO kali ini besar kemungkinan BN dan UMNO akan kalah. Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini. Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam UMNO tidak akan dapat menjadi Mentri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.

22. Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah.

23. Apakah yang akan jadi pada UMNO yang sudah kalah? Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO? Tentu tidak. Jika tidak hancur, UMNO akan jadi parti yang tidak bermaya, tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanahair. Mungkinkah UMNO yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan UMNO pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka.

24. Jika UMNO hendak dipulih semula pemimpin yang telah kotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO.

25. Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir. Ingatlah apabila Abdullah umumkan yang dia akan bersara pada tahun 2010, pengumuman ini disambut dengan tepuk sorak. Tidak ada sesiapa yang merayu supaya dia tarik balik pengumumannya. Tidak ada yang menangis. Sebaliknya sejurus selepas pengumuman ini desakan dibuat lagi supaya peralihan kuasa
dilakukan lebih awal.

26. Kenapakah UMNO dan rakyat lain hendakkan peralihan kuasa lebih awal? Apakah kerana tidak suka kepada tubuh badan Abdullah atau apakah kerana tidak suka kepada dasar-dasar dan pendekatannya dalam pentadbiran parti dan Negara? Apakah kerana mereka semata-mata mahu pemimpin lain menggantinya?

27. Sesungguhnya sambutan terhadap peralihan kuasa ialah kerana harapan rakyat supaya dasar-dasar, pendekatan dan tingkahlaku Abdullah diganti dengan dasar, pendekatan dan tingkahlaku yang lain, yang berbeza.

28. Jika penggantinya hanya akan teruskan semua dasar dan amalan Abdullah maka sia-sia sahajalah penggantian Abdullah dan peralihan kuasa.

29. Kata Mat Salleh, "You will be back to square one". Dan UMNO akan kalah.

Monday, November 17, 2008

PERINGATAN RAJA-RAJA MELAYU KEPADA YANG BUKAN MELAYU



KUALA TERENGGANU 16 Okt. — Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Dipertikai

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Menghormati

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

— Bernama

Tuesday, November 11, 2008

KEMPEN BERHEMAH VS POLITIK WANG

Aku ucapkan tahniah kepada semua ahli-ahli UMNO yang telah berjaya mendapat pencalonan untuk ke jawatan-jawatan penting parti. Tahniah juga di ucapkan kepada YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak kerana telah menerima sokongan padu dan kuat dari UMNO-UMNO Bahagian kerana bakal menerajui UMNO sebagai Presiden sekaligus sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Tahniah juga aku ucapkan kepada YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kerana dicalonkan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan memperolehi undi pencalonan berhemah dari 91 UMNO Bahagian. Walaubagaimana pun TSMY terpaksa menghadapi pertarungan 3 penjuru dengan YAB Dato Seri Ali Rustam dan juga YB Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Aku ingin mengingati diri aku sendiri dan juga seluruh ahli-ahli UMNO khususnya para perwakilan supaya benar-benar ikhlas untuk menyokong dan mengundi jawatan No. 2 parti. Keseluruhan ahli-ahli UMNO telah memberikan kepercayaan kepada para perwakilan untuk mengundi seterusnya bakal menerima pemimpin No. 2 yang boleh bekerjasama dan berganding dengan DSNTAR selepas Mac 2009 kelak.
Aku sebenarnya amat bimbang apabila para perwakilan-para perwakilan menyatakan mereka terpaksa mencalonkan seseorang dengan alasan mereka mengenang jasa pemimpin-pemimpin yang hendak di calonkan atas dasar menerima bantuan kewangan serta dengan mudah menerima pingat mahupun pangkat dari pemimpin- pemimpin tertentu. Atas dasar tersebut mereka ini terpaksa memberikan pencalonan demi mengenang jasa tersebut. Pada saat-saat akhir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, kita dengan mudah menyaksikan pemimpin-pemimpin yang berhemah tidak mendapat pencalonan disaat-saat akhir walaupun para perwakilan2 tahu siapakah pemimpin yang layak serta berpengalaman untuk menerajui UMNO seterusnya dapat memulihkan kembali maruah UMNO yang sekarang ini tidak relevan di hati rakyat keseluruhannya.
Masyarakat Cina dan India nyata-nyata sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO kerana kerenah para pemimpin yang di lantik di lihat lembab, tidak bermaya dan tidak tegas menangani isu-isu semasa. Ini disebabkan para pemimpin yang ada sekarang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan ahli-ahli UMNO dan juga rakyat jelata yang mengharapkan UMNO sebagai teraju utama dapat menjaga kestabilan ekonomi, perpaduan kaum dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan damai.
PRU12 yang lalu menyaksikan pertarungan hebat yang tidak dapat kita lupai. Satu titik sejarah hitam dan tamparan hebat kepada kita khususnya orang-orang Melayu, UMNO gagal mempertahankan kerusi-kerusi di kebanyakan DUN dan Parlimen. PKR , DAP dan PAS mula mendapat perhatian dari rakyat berbilang kaum. Orang Melayu berpecah sesama sendiri dan tidak bersatu lagi oleh kerana kefahaman dan ideologi politik. Orang Melayu rela mencalonkan parti DAP (membawa fahaman ideologi komunis) mahupun PKR (rata-rata jawatankuasanya terdiri dari bukan Melayu) kerana amat marah kepada para pemimpin UMNO yang sombong, bongkak, mementingkan diri sendiri dan keluarga serta amalan rasuah yang menjadi-jadi.
Apakah kita sebagai ahli UMNO mahu melihat UMNO di bungkus dan di buang oleh rakyat jelata atau pun kita mahukan UMNO terus relevan di hati ahli-ahli UMNO dan rakyat jelata.
Para Perwakilan hendaklah benar-benar menjiwai perjuangan UMNO, balik kepada pangkal jalan dan kajilah sejarah sekiranya kita mahu UMNO sebagai parti dihati orang-orang Melayu. Sekarang ni sudah bermulalah kempen-kempen bagi meraih undi para pencalonan, begitu juga dengan sogokan wang ibarat 'carpet bombing' akan melanda para perwakilan.
Aku menasihati diri ku sendiri dan ahli-ahli UMNO jauhilah rasuah, pemimpinpemimpin yang rasanya belum lagi layak tetapi berangan-angan untuk memimpin tak payahlah gunakan wang ringgit semata untuk memegang jawatan yang dicalonkan, kerana yang rosak nanti parti. Sekiranya pemimpin-pemimpin yang hendakkan jawatan tersebut boleh memberikan rasuah kepada para perwakilan maknanya mereka juga apabila memimpin negara dengan mudah sekali menerima sogokan dan rasuah demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.
Mereka akan kumpul wang banyak2 untuk membeli harta dan aset di luar negara dan melupakan kita apabila mereka tidak lagi bermaya. Yang penting bagi mereka adalah untuk mereka, selagi mereka boleh meberi rasuah maknanya mereka juga mudah menerima rasuah.
Marilah kita fikir-fikirkan bersama demi kebaikan UMNO

Thursday, October 23, 2008

RASUAH DI DALAM PARTI ATAU DI KENALI SEBAGAI POLITIK WANG

Aku sungguh terkejut apabila para perwakilan dari UMNO cawangan yang hendak menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gelang Patah kali ke 14 memberitahu aku mereka menerima RM500.00 hingga RM1,000.00 setiap perwakilan bagi menyokong untuk mengundi Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, AJK dan juga G7 bagi menentukan kepimpinan UMNO Bahagian Gelang Patah.

Adakah ini satu pertandingan yang sihat ditunjukkan kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat jelata? Adakah ini satu perjuangan atau satu perjuangan yang hanya mementingkan kepentingan diri dan periuk nasi mereka yang berkobar-kobar untuk memimpin?

Adakah pemimpin yang dipilih nanti benar-benar ikhlas didalam perjuangan mereka untuk bangsa, agama dan tanah air?

Politik Wang atau Rasuah Politik ini makin menjadi-jadi dan apa yang aku lihat tiada segan silu bagi pemberi rasuah dan penerima rasuah. Kesukaan penerima rasuah politik ini seolah-olah menunjukkan kepada ahli-ahli sebagai satu percaturan yang perlu bagi menentukan kepimpinan UMNO Bahagian. Adakah ini yang dinamakan Parti Politik Melayu Terkini?

Dari apa yang aku dengar baik di lobi hotel, di kedai mamak mahu pun SMS, ahli-ahli UMNO mula bercakap-cakap dan mengatakan bahawa sekarang ini kalau nak bertanding pemeriksa kira-kira pun kalau tak ada duit jangan haraplah nak menang.

Ini baru peringkat UMNO Bahagian belum lagi peringkat UMNO Pusat. Dari apa yang aku dengar juga untuk memilih pencalonan Ketua Pemuda Malaysia dan Naib Ketua Pemuda Malaysia pun ada 'Jeneral-Jeneral' atau Agen-Agen yang telah di lantik untuk memastikan pencalonan mereka mendapat pencalonan. Untuk mendapatkan pencalonan tersebut ada yang dikatakan sanggup memberi antara RM500.00 hingga RM30,000.00 (kesahihan belum dapat di pastikan)

Wal hasil sekiranya Rasuah Politik ini tidak di bendung, aku merasakan PRU13 amat sukar bagi kita UMNO menebus balik maruah UMNO, kerana pemimpin yang suka memberi rasuah dan ahli-ahli yang menerima rasuah tidak akan mempunyai semangat perjuangan yang ikhlas, akhirnya UMNO akan di gadai oleh para pemimpin komeng yang mementingkan diri bukan untuk bangsa, agama dan tanah air.

LU FIKIRLAH SENDIRI WAHAI PEMIMPIN KOMENG (PEMBERI RASUAH) DAN AHLI-AHLI KOMENG (PENERIMA RASUAH) YANG BERSELINDUNG DI SEBALIK UMNO

Wednesday, October 15, 2008

LAYAKKAH KHAIRY DAN REZAL MEMIMPIN PEMUDA UMNO?

Seronok juga aku mengikuti pencalonan-pencalonan bagi menentukan kepimpinan UMNO baik diperingkat UMNO Bahagian mahupun Pusat.
Bakal pemimpin yang petah bercakap dan mengolah kiasan tidak semestinya boleh memimpin dan diterima bulat-bulat oleh jenerasi muda rakyat Malaysia walaupun dah berpengalaman sebagai Naib Ketua di peringkat pusat mahupun SUPOL seseorang Menteri. Pengaruh ataupun kekuatan bukan ukuran perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
Bagi aku KJ belum layak lagi untuk menerajui Pemuda Malaysia apatah lagi gandingan beliau dengan Rezal Merican. Apakah sumbangan bakti yang telah ditunjukkan kepada UMNO keseluruhannya? Hanya kroni-kroni mereka atau jeneral-jeneral kempen mereka yang petah boleh menjawab dan mencuba sedaya upaya mempengaruhi agenda kempen mereka.
Bolehkah KJ atau Rezal bersama-sama duduk semeja dengan ahli-ahli UMNO yang tidak berjawatan berbincang dan menerima pendapat ahli-ahli bawahan yang tidak berkuasa langsung dalam parti?
Sama-samalah kita nilaikan pemimpin yang layak menerajui Pemuda.
Bagi aku Mukhriz dan Razali Ibrahim lebih layak menerajui Pemuda Malaysia kerana sikap mereka yang rendah diri ketika berbincang dan menerima pandangan akar umbi dan pengalaman mereka juga perlu diambil kira.
Kelatangan dan keberanian MM dan RI menyuarakan pandangan serta menegur para pemimpin membuktikan mereka ini bukan 'yes man' dan cara mereka mengatasi sesuatu isu adalah 'mileage' yang terbaik untuk kita memilih mereka berdua sebagai bakal pemimpin jenerasi muda rakyat Malaysia.
Yang penting bagi aku MM dan RI jangan lupakan perjuangan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air.
Aku menasihati MM & RI supaya kembalikan maruah bangsa Melayu dan agama Islam. Cari jalan bagaimana pendidikan dan ekonomi Melayu dikukuhkan dan hendaklah di utamakan dalam perjuangan. Jangan utamakan kepentingan diri dan juga keluarga.
Kalau nak berpolitik, fokuskan nawaitu kita pada perjuangan dan jangan sesekali lupa daratan dan berpaling dari memperjuangkan nasib bangsa, agama dan tanah air.
Hapuskan sama sekali jenerasi muda Melayu yang liar-liar sebagai agenda dan wadah perjuangan Pemuda, kembalikan dan pulihkan semangat anak-anak Melayu yang telah tercemar selama ini. Seperkara lagi jangan sesekali menghadiahkan penyapu kepada sesiapapun sekiranya orang-orang bawahan tidak mempunyai prestasi yang baik. Gunakan kebijaksanaan dan akal fikiran yang Allah SWT kurniakan kepada kita.
Aku tetap aku, dan ini pandangan aku untuk Pemuda Malaysia.

Monday, October 13, 2008

GANDINGAN MANTAP DATO' SERI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK DAN TAN SRI MUHYIDIN YASSIN AKAN DAPAT MEMULIHKAN KEMBALI MARUAH ISLAM DAN MELAYU

Gandingan yang di nantikan ini amat bermakna buat ahli-ahli UMNO dan rakyat jelata khususnya bangsaku Melayu yang beragama Islam. Kita mahukan pemimpin yang mempunyai bekalan pengalaman yang boleh mentadbir tanah air dan yang penting sanggup menerima pandangan dan keluhan akar umbi.

Aku berharap para pemimpin UMNO yang akan dilantik kelak oleh akar umbi baik diperingkat cawangan, bahagian mahu pun MKT menjadikan UMNO sebagai satu pusat bagaimana dapat mengembalikan maruah bangsa melayu dan Islam yang akhir-akhir ini tercemar dik kerana kelemahan didalam mentadbirkan UMNO.

Kronisme dan amalan bodek-membodek hendaklah di buang dan di kikis sama sekali. Ahli-ahli UMNO hendaklah dibela dan diberikan 'priority' dalam perjuangan UMNO. Ahli-ahli UMNO hendaklah di angkat mertabatnya supaya keahliannya di benar-benar bermutu. Kita tidak mengharapkan ramainya ahli UMNO tetapi kita mengharapkan ahli UMNO yang benar-benar menghayati perjuangan bangsa Melayu dulu, kini dan selamanya.

Ahli-ahli UMNO yang di ibaratkan seperti lalang hendaklah di cantas kerana mereka inilah yang akan menjadi perosak UMNO. Ahli-ahli lalang ini niatnya hanyalah menjaga kepentingan diri sendiri sehingga sanggup mengunakan wang ringgit asalkan mereka dapat bertapak diperingkat atasan.

Mereka akan mencari populariti murahan dan sanggup mendidik ahli-ahli UMNO mengamalkan RASUAH @ Politik Wang.

Aku mendoakan Dato Seri Mohd Najib dan Tan Sri Muhyidin Yassin dapat mengepalai UMNO dengan bijaksana dan menerima pandangan ahli-ahli akar umbi dengan tidak mengira status samada ahli-ahli tersebut mempunyai jawatan ataupun tidak. Kita mahukan ahli-ahli UMNO yang berkualiti dan menjadi teladan kepada semua lapisan rakyat khususnya orang-orang Melayu yang sudah melupai asal usulnya.

Sehingga hari ini ahli-ahli lalang yang dahulunya berpaksikan kepada satu pihak sekarang dah mula menyengetkan paksinya kepada siapakah 'team' yang akan menerajui UMNO.

Bagi jawatan Naib Presiden, aku rasa ahli-ahli UMNO dapat menilai siapa yang boleh bekerja dan di ketengahkan untuk menerajui orang nombor tiga parti. Bagi aku biarlah UMNO Bahagian dan para perwakilan yang bijaksana menentukan jawatan tersebut sebagai jambatan untuk menguji kebolehan.

Seperkara lagi, pandangan peribadi aku, mereka / pemimpin tertinggi UMNO yang pernah mempunyai kes wajiblah mengundurkan diri. Buat apa aku sebagai ahli UMNO memilih ketua yang dah ada kes untuk menjadi ketua aku? aku bimbang mereka ini menjadi kacang lupakan kulit. Sedar mahupun tidak mereka-mereka ini akan mengujudkan kroni-kroni mereka yang sama haluan dan akhirnya akan melemahkan organisasi UMNO khususnya orang-orang Melayu.

Buat Pemuda UMNO, KJ masih belum layak untuk menerajui Pemuda UMNO. KJ tidak mempunyai pengalaman langsung diperingkat akar umbi. Pemuda yang memilih KJ hanyalah kerana Pak Lah berkuasa. Sekarang ni kita dapat lihat pencalonan KJ tidak gah seperti dahulu. Jenerasi muda UMNO hendaklah di didik dengan semangat perjuangan yang benar-benar ikhlas, bukan di belai dengan wang ringgit. Pengalaman aku, semasa PRU12, semangat pemuda tidak seperti semangat parti lawan, ada duit ada kerja, tak ada duit duduk tunggu dan lihat. Nak pasang poster pun liat sehinggakan kita membayar kontraktor-kontraktor untuk memasang poster2. Adakah ini semangat yang kita laung-laungkan?

Bagi jawatan Naib Pemuda bagi aku YB Razali Ibrahim adalah tokoh jenerasi pemuda UMNO yang berwibawa dan hendaklah digandingkan dengan MM. Bagi aku Rezal Merican belum lagi layak untuk menjadi orang nombor dua Pemuda UMNO. Tak pernah aku lihat Rezal turun ke akar umbi dan kalau turun pun hanya berjumpa ahli-ahli yang yang ada kepentingan. Bagi aku Razali Ibrahim mempunyai ketokohan tersendiri dan beliau seorang yang berani menyuarakan pandangan akar umbi.

Wahai ahli-ahli UMNO, jadikanlah pemilihan UMNO pada bulan Mac yang akan datang satu pemilihan yang benar-benar membawa pengertian kepada seluruh ahli-ahli UMNO khasnya bangsa Melayu. Para Perwakilan akan di uji Allah SWT dengan wang ringgit di saat-saat akhir, nasihat aku sekiranya ini berlaku, lapurkan terus kepada Lembaga Disiplin supaya amalan politik wang ini dapat dibenteras sama sekali. Sekiranya ini berlaku juga.......UMNO akan terus di landa ujian yang amat dasyat dari Allah SWT. Ikhlaskan diri dan undilah dengan bijaksana.

Sunday, September 21, 2008

APAKAH IMPLIKASI BILA KERAJAAN BERTUKAR ATAS DASAR DESAKAN?

Selamat menjalani ibadah puasa 1429. Lagi 8 hari umat Islam akan mengakhiri ibadah puasa di bulan ramadhan ini. Aku mengambil kesempatan ini untuk membicarakan pandangan peribadi aku yang semakin hari semakin bimbang sekiranya peralihan kuasa pemerintahan menjadi realiti.

Apakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk melihat peralihan kuasa pemerintahan ini bertukar tanpa restu dan kehendak dari rakyat keseluruhannya? Apakah dengan peralihan kuasa yang di impikan oleh Parti Pakatan Rakyat boleh mengubah segala-galanya? Adakah kaum Melayu dapat memertabatkan kembali keunggulan bangsa apabila PR memerintah?

Apakah Melayu akan bersatu apabila PR memerintah atau menjadikan bangsa Melayu itu lebih huru hara dan hilang hala tuju? Adakah perpaduan kaum akan menjadi lebih baik atau semakin meruncingkan?

Anwar seharusnya memikirkan kepentingan bangsa dari kepentingan diri sendiri. Nak jadi PM dengan cara mudah aku bimbang akan mengeruhkan lagi keadaan. Ketelusan parti-parti kompenan dari PR masih diragui. Apakah PAS memang boleh menerima DAP yang rata-rata lantang mempertikaikan hak orang Melayu?

Kadang-kadang aku terfikir juga sekiranya Anwar menjadi PM, tup-tup ditakdirkan Anwar umur tak panjang....siapakah yang layak menjadi pengganti? Siapakah TPM dan bagaimana ianya ditadbirkan?

Kesimpulannya, BN hendaklah mengubah cara pemerintahannya, banyakkan turun kepadang dan melihat sendiri penderitaan rakyat yang rata-rata inginkan pembelaan. Pemimpin UMNO jangan syok sendiri dengan pangkat yang ada. Kita mahu para pemimpin yang 'neutral', bebas di temui dan sanggup mendengar (two way communication). Pemimpin UMNO hendaklah mendengar keluhan rakyat keseluruhan bukan kroni-kroni sahaja. Ahli-ahli UMNO itu sendiri hendaklah di bela dan di berikan keutamaan, kalau tidak tak guna jadi ahli UMNO.

Itulah sebabnya, kebanyakkan ahli-ahli UMNO yang taat kepada parti mempertikaikan kepimpinan yang ada. Apa UMNO boleh lakukan kepada ahli bukan apakah ahli boleh lakukan kepada UMNO. Tanpa kekuatan akar umbi yang ikhlas aku bimbang UMNO akan sengit dan tidak berupaya menjadi parti yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Apakah kroni-kroni para pemimpin baik kepada Pak Menteri, Pak Presiden, Pak-Pak lain-lain itu ikhlas pada perjuangan UMNO? atau hanya rapat dengan pemimpin yang ada untuk mendapatkan sesuatu demi kepentingan diri? Aku risau dengan lagak yang ada akan mengoncangkan keseluruhan organisasi UMNO itu sendiri.

Pada keseluruhan ahli-ahli UMNO baik di peringkat cawangan, bahagian dan para perwakilan yang di pilih wajib memastikan pemimpin yang layak untuk memimpin kita seterusnya memimpin negara yang kita cintai. Kalaulah pemimpin yang kita pilih kerana wang sogokkan maka kita akan dapat pemimpin komeng yang hanya boleh memimpin atas dasar wang ringgit demi kepentingan diri sendiri. Mereka tidak dapat menjalani kewajipan untuk memimpin kita, maka mereka ini nanti yang akan merosakkan parti justeru melemahkan negara.

Nak pilih pemimpin biarlah yang benar-benar boleh bekerja untuk kita dan rakyat jelata. Bukan pemimpin yang hanya menang sorak kampong tergadai.

Monday, July 28, 2008

PENGABUNGAN UMNO-PAS?

Aku bersetuju 100% sekiranya UMNO dan PAS dapat bergabung dalam satu organisasi Melayu terunggul yang rata-ratanya akan mempertahankan maruah bangsa, agama ISLAM dan tanah air. Apakah implikasi sekiranya dari dulu sehingga kini orang Melayu berpecah? Yang aku nampak hanya bangsa lain akan bertepuk tangan dan menyambutnya dengan kepuasan pada hati sanubari mereka supaya mereka dapat melalaikan bangsa kita Melayu dengan hiburan, rasuah dan sebagainya yang penting bagi mereka......mereka dapat takluki ekonomi tanah air kita dengan cara mereka tersendiri tanpa menghiraukan peradaban agama ISLAM dan adat bangsa Melayu.

Kita mahu mempertahankan Melayu sebagai bangsa bermaruah dan ISLAM adalah pegangan kita. Aku sebagai ahli UMNO amat bersyukur dengan kebijaksanaan para pemimpin yang terdahulu yang dapat memikirkan wawasan bangsa nya. Cuba kita bandingkan negara kita dengan negara-negara luar? Penderitaan, kebuluran, peperangan, kedaifan dan sebagainya dapat kita lihat contohnya di Dafur, Palestian, Lubnan dan lain-lain. Maksud aku, Malaysia boleh di katakan 'selamat'.

Sudah tiba masanya kita bersatu, tak usah kita nak lerai-leraikan permulaan yang baik dengan mengimbas kembali apa yang di katakan perpecahan. Maksud aku pihak media pun kena ikhlas dalam menyusun kata-kata bahasa dan jangan sampai mengelirukan rakyat jelata yang mahu di pimpin secara jujur dan ikhlas. Sekiranya dah berhajat untuk bersatu, kita sama-samalah mencari jalan terbaik bagaimana bangsa Melayu boleh bersatu.

Dalam memimpin jangan sesekali dalam niat kita ada kepentingan. Kepentingan inilah yang akan merugikan bangsa Melayu dan mencabar ISLAM itu sendiri. Keikhlasan kita memimpin adalah asas perjuangan setiap bangsa di pelusuk bumi Allah SWT.

BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Monday, April 28, 2008

ORANG MELAYU KENA BERANI BERCAKAP BUKAN MENGATA

Saban hari aku termenung memikirkan nasib bangsa aku yang semakin lama semakin mundur dari memikirkan sesuatu yang lebih baik atau memikirkan sesuatu yang terbaik untuk jenerasi anak bangsa yang di katakan melayu. Ramai di kalangan pemimpin melayu yang ada sekarang petah dan lantang bercakap dan boleh mengegarkan sanubari sehingga menjadikan semangat yang berkobar-kobar hanya seketika sahaja. Bak kata orang bagaikan pukulan gendang yang menyeronokkan atau sedap di dengar tetapi dalamnya tetap kosong.

Orang Melayu jenerasi sekarang bukan lagi jenerasi Melayu dahulu yang sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan, tetapi jenerasi melayu sekarang berlandaskan semangat kebendaan dan sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan diri sendiri. Jenerasi Melayu sekarang tidak hiraukan untuk mempertahankan masa depan anak bangsa yang akan menerajui negara ini, malah tidak hirau dan memperdulikan apa yang akan terjadi pada bangsanya sendiri asalkan dia dan keluarganya selamat.

Pemimpin Melayu sekarang hanya angkuh membuat dasar, tapi dasar yang di buat sebenarnya menghancurkan bangsa Melayu itu sendiri. Dasar yang di buat hanyalah sebagai wayang kulit yang di sebaliknya ada udang di sebalik batu. Nah sekarang apa dah jadi dengan kepercayaan rakyat dengan kerajaan yang di katakan gemilang, cemerlang dan terbilang. Kenapa Melayu berpecah dan tidak bersatu padu, adakah pemimpin kita yang ada sekarang menunjukkan sikap telus dan keterbukaan. Keikhlasan pemimpin untuk berkhidmat untuk rakyat adalah tipu belaka.

Pemimpin Melayu begitu megah untuk di sambut apabila turun berjumpa rakyat jelata. Apakah protokol sedemikian boleh mendatangkan hasil atau kesan mendalam kepada rakyat atau yang di katakan protokol itu suatu pembaziran. Secara peribadi saya mengharapkan kepimpinan yang ada sekarang tak perlu lagi berprotokol. Apa bezanya kita semua? Turunlah berjumpa rakyat secara jujur dan ikhlas, tak perlu di sambut dengan iringan kompang dan longgokan bunga manggar serta bena semata untuk menyambut pemimpin yang datang hanya sejam dua, lepas tu balik ke hotel atau naik helikopter balik ke KL. Rakyat yang datang berpeluh tak dapat apa. Apa guna semuanya ini. Terfikir juga aku Nabi Muhammad dahulunya berprotokol ke?

UMNO akan runtuh dari bangunan yang kukuh selama 60 tahun. Retakan dari tiang-tiang yang di dirikan oleh kepimpinan perjuangan dahulu tidak di jaga dengan betul. Adakah UMNO relevan dihati rakyat Malaysia. Kemana hala tuju bangsa ku yang di katakan Melayu?