Thursday, July 4, 2013

SIFAT PERTAMA - WUJUD (ADA)

TAKRIF WUJUD
 

Wujud ialah satu hal ataupun keadaan yang wajib bagi zat selama mana ianya ada , dan hal ataupun keadaan ini tidak mempunyai sebab bagi wujudnya .

HUKUM
 

Wajib syara’ keatas semua mukallaf beriktikad yakin seratus peratus bahawa ALLAH s.w.t itu wujud (ada) dan wajib kita nafikan sifat ‘adam ( tiada ) dari zat ALLAH . Wujud ALLAH tidak sama dengan wujud kita ini kerana wujud ALLAH tidak didahului oleh tiada dan tidak dihubungi oleh tiada . Adapun wujud kita ini , ianya didahului oleh tiada dan dihubungi oleh tiada juga . Dengan erti kata yang lain tidak ada tarikh lahir dan tarikh mati bagi ALLAH sedangkan kita ada hari dan tarikh kelahiran dan kematian .

DALIL AQLI
 

Dalil aqli tentang adanya sifat wujud bagi ALLAH ialah baharu alam ini . Mengapakah kita mengatakan baharu alam ini sebagai dalil wujudnya ALLAH? Jawapannya ialah alam ini sebelum adanya , ada dan tiadanya adalah sama berat 50-50 . Tetapi bila sahaja ia wujud , akal kita mengatakan mesti ada yang menjadikan alam ini kerana alam tidak mampu untuk menjadikan dirinya sendiri bahkan orang lain sahaja yang mampu mewujudkan alam ini . Maka apabila difikirkan nyatalah yang menjadikan alam ini ialah ALLAH s.w.t .
 

MAKLUMAN
 

Alam ini secara ringkasnya hanya mempunyai dua unsur iaitu jirim ( zat/batang tubuh ) dan ‘arod ( sifat ) . Maka setiap jirim wajib mempunyai sifat begitu juga sifat wajib menumpang ataupun bersama jirim , masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain . Setiap jirim hanya boleh mengambil salah satu sahaja diantara sifat-sifat yang berlawanan contohnya gerak dan diam , bila mana satu jirim itu bergerak maka sudah pasti ternafi darinya sifat diam .

No comments: